KECEK
1
Seorang pengarah
Membuka akaun semasanya
Di sebuah bank ternama
Tetapi dalam diam
Dia mencantum kemiskinan
Orang lain
Ke dalam amanahnya
Yang telah lama pecah.
2
Di kampung
Seorang petani
Membuka akuan kemiskinannya
Di ruang kedaifan
Dan mengunci sedozen anak-anaknya
Di dalam pagar sengsara
Tetapi dia tidak pernah mencantum
Kekayaan orang lain
Ke dalam getirnya
Yang sudah lama
Berumbi.
3
Di pantai
Seorang nelayan
Membuka akaun sengsaranya
Di rahang laut terngannga
Dan mengurung sederet anak-anaknya
Di bawah pusaran nasib
Tapi dia tidak pernah mengumpul
Kesenagan orang lain
Ke dalam kegusarannya
Yang telah lama sekian musim
Berlumut
Di papan hidupnya.
4
Tuhan tidak pernah mungkir
Mencatatkan setiap angka
Dan nilai hitungan paling kecil
Ke dalam akun-Nya
Di rumah keadilan.
Maksud 1
Seorang yang berjawatan pengarah dalam
sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelangan. Semasa
menjalankan tugas dia begitu cilik pecah amanah dan menggelapkan wang.
Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.
2
Di kampung pula, seorang petani hidup dalam
serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara
keluarga. Walaupun miskin, namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain
dalam usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.
3
Di kawasan pantai, seorang nelayan juga
dibelenggun kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan
kekurangan. Dia tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain
sepanjang meniti kehidupan yang semakin menghimpit.
4
Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan
kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat
pembalasan daripada Tuhan seperti yang telah dijanjikan.
Tema
Sikap amanah. Dalam mencari rezeki kita
perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga.
Golongan yang berjawatan didapati sering kali pecah amanah untuk hidup mewah
berbanding golongan berpendapatan rendah.
Persoalan
1. Persoalan tentang sikap amanah
ketika menjalankan tugas.
2. Persoalan tentang
kegigihan mencari rezeki.
3. Persoalan tentang perasaan simpati
terhadap golongan kurang berada.
Bentuk
1. Terdiri daripada 4 rangkap
2. Rangkap berbentuk bebas
a. Rangkap 1 – 8 baris
b. Rangkap 2 -11 baris
c. Rangkap 3-12 baris
d. Rangkap 4 –5 baris
3. Rima akhir setia baris
a. Rangkap 1 – abbcddba
b. Rangkap 2 -abcdccedccb
c. Rangkap 3-abcccdebcfgc
d. Rangkap 4 –abcbd
Gaya bahasa
1. Ayat pendek
2. Aliterasi
3. Asonansi
4. Metafora
Nilai
1. Nilai amanah. Apabila menjalankan
tugas, laksanakan tugas dengan penuh amanah.
2. Nilai kegigihan. Walaupun hidup
dalam suasana miskin, sikap gigih amatlah penting untuk mencari rezeki.
3. Nilai simpati. Perasaan ini perlu
wujud terhadap golongan kurang berada.
Pengajaran
1. Kita haruslah bersikap
amanah ketika menjalankan tugas.
2. Kita haruslah gigih untuk
mencari rezeki.
3. Kita haruslah
sentiasa bersimpati terhadap golongan kurang berada.
|