HIPERTENSI (Illias Zaidi) : Sinopsis

HIPERTENSI  (Illias Zaidi)



SINOPSIS


Cerpen Hipertensi (Illias Zaidi) memaparkan watak utama, Aiman Aqil yang sering berhalusinasi. Aiman sering menimbulkan kemarahan gurunya kerana tidak menumpukan perhatian terhadap pembelajaran di dalam kelas. Dia sering berangan-angan menjadi tokoh-tokoh hebat dalam bidang Sains. Aiman Aqil mudah bosan dengan cara pembelajaran di sekolah menyebabkan dia sering ponteng sekolah. Hal ini menimbulkan kemarahan ayahnya sehingga dia kerap dirotan. Aiman sentiasa mengambil kesempatan untuk mewujudkan halusinasi futuristik penuh cabaran. Dia pernah membayangkan dirinya telah lulus pengajian tinggi dalam bidang aeroangkasa. Walaupun Aiman Aqil sering berhalusinasi, namun dia mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Dia tidak mahu berangan-angan seperti Mat Jenin dan Si Luncai. Angan-angan Aiman terus mekar apabila dia terus berhalusinasi menjalani latihan intensif di bawah program aeroangkasa di bawah Rusia. Kemudian, dia terus berangan-angan hendak memantapkan diri sebagai persediaan untuk berlepas ke angkasa. Halusinasi Aiman tidak terhenti setakat itu sahaja, malah dia turut membayangkan jutaan khalayak menyaksikan siaran langsung perlepasan kapal angkasa yang dinaikinya. Aiman akhirnya berjaya mendarat di bulan dalam halusinasinya itu.


Setelah asyik melayan halusinasinya, akhirnya Aiman teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu mengajaknya lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Akhirnya, Aiman sedar daripada khayalannya bahawa dia perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu bukan sekadar berangan-angan. Jauh di sudut hati Aiman, dia memanjatkan doa dan harapan ke hadrat Ilahi.