NOVEL DI SEBALIK DINARA : Sinopsis (Bab 6 → Bab 10)

BAB 6
Pagi itu Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu. Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat  berkomunikasi dengan Karl. Dalam komunikasi itu Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Oleh kerana tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl, Alia menjadi cemburu dan marah. Selepas beberapa ketika Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram. Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.
BAB 7
Pada sebelah malam Farisha, Shida dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Sementara mereka berbincang tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas  pulang. Sementara itu mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa perkakas besi termasuk suatu barang yang serupa dengan piring tv satelit. Tiada laporan polis dibuat. Dua malam selepas kejadian itu, Farisha telah diundang oleh Abang Azraai untuk makan malam di rumahnya. Di sana Farisha bertemu, abang Azraai, kak Mariah dan kedua-dua anak mereka Aina dan Dina. Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu abangnya mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya ialah, dirinya adalah anak angkat kepada ibu dan ayahnya. Malam itu Farisha tidak dapat melelapkan mata.

BAB 8
Pada pagi itu sebelum sempat Alia membawa Farisha ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan. Doktor dipanggil dan Farisha dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr. Maxi hairan dan menurut Aqram dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama tiada pula maklumat tentang sebarang penyakit yang membimbangkan. Sebaik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untk berjumpa Shida. Beberapa soalan diajukan kepadanya tentang latar belakang penyakit Farisha. Dr. Maxi ingin tahu sama ada Farisha mengandung.
BAB 9
Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza. Lagipun tubuh Farisha telahpun ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha. Pada jam 5.30 petang mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal. Namun Shida terjumpa satu bukti  yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat. Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya. Tetapi Farisha menyatakan itu tidak apa-apa. Farisha terlena lagi. Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin  datang  ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Tetapi kali ini mereka berjaya kerana WALL lemah apabila Farisha lemah. Selepas itu Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter. Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan. Farisha terus lena kerana abangnya Azraai meminta doktor memberi ubat tidur. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scand itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang dia sendiri sukarela menjalani satu uji kaji untuk sebuah universiti. Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan. Tengah malam itu Dr. Maxi menyarankan bahawa Shida akan menggantikan tempat Farisha.
BAB 10

Pada pagi itu sedang Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B. Satu pembedahan untuk menanam mikrocip telah dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu. Pada petang itu selepas sedar, apa yang dilakukan ke atas Farisha dilakukan pula ke  atas Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Tetapi Dr. Maxi berdegil dan hanya memberhentikan ujikaji ini selepas  lima minit. Ini akan merosakkan otak seseorang. Dalam masa yang sama, Farisha dalam tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy. Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu ke atas Farisha menjerit gembira dan mengatakan dia berjaya menghubungi anaknya Farisha dan dia mengaku dirinya lebih hebat daripada lelaki itu. Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu  kerana sanggup melakukan ujikaji  ke atas anaknya sendiri. Dia tidak peduli. Apa yang dia mahu adalah ingin membuktikan siapa yang benar dan yang lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.  Manakala Shida tetap murung, berada di bilik Farisha, dan tidak pulang ke rumah malam tadi. Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr. Maxi yang tetap meneruskan uji kajinya ke atas Shida. Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.

.