Langkah-langkah
untuk Menarik Minat Pembacaan Karya Sastera
Minat
untuk membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat ini semakin
berkurangan.
Bincangkan
langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat
orang ramai membaca karya sastera.
Pada
zaman berteknologi tinggi ini, orang ramai telah memilih untuk memiliki sebuah
komputer untuk mendapatkan maklumat daripada internet berbanding mencari
maklumat atau membaca daripada buku. Hal ini menyebabkan minat untuk membaca
karya-karya sastera dalam kalangan rakyat makin berkurangan. Malah ada yang
telah lupa dan tidak kenal akan karya sastera yang dihasilkan oleh sasterawan
negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, A.Samad Said dan sebagainya. Hal ini
tidak boleh dipandang remeh kerana karya sastera yang dihasilkan merupakan
warisan bangsa yang menunjukkan identiti dan bangsa kita. Minat untuk membaca
karya-karya sastera ini perlu disemarakkan semula dalam kalangan masyarakat.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak
untuk menarik minat orang ramai untuk membaca karya sastera?
Langkah-langkah
yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menarik minat orang ramai membaca
karya sastera termasuklah peranan pihak sekolahkhususnya Pusat Sumber
Sekolah. Pusat Sumber Sekolah perlu memperbanyak buku sastera dan karya agung
seperti novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ oleh Shahnon Ahmad, ‘Salina’ oleh
A.Samad Said, ‘Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur’ oleh Kamaludin Muhamad dan
‘Tulang-tulang Berserakan’ oleh Usman Awang agar murid mahupun guru berpeluang
untuk membacanya. Pusat sumber boleh mengadakan pertandingan mengulas novel,
sajak, puisi dan pantun pada setiap bulan. Langkah ini
membolehkan para pelajar untuk membaca karya-karya sastera
memandangkan mereka ingin menghasilkan ulasan yang menarik. Secara tidak
langsung, minat pelajar terhadap karya sastera akan semakin bertambah. Pihak
sekolah turut boleh menggalakkan setiap kelas menyediakan satu ruang
atau sudut membaca di kelas bagi memudahkan pelajar untuk menghayati karya
sastera ketika guru tiada di dalam kelas. Tegasnya, pihak sekolah memainkan
peranan yang penting dalam menarik minat pembaca terhadap karya sastera.
Selain
itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengambil langkah untuk
menarik minat anak-anak membaca karya sastera. Ibu bapa haruslah memberikan
pendedahan tentang karya sastera kepada anak-anak sejak kecil lagi bak kata
pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh
membaca sastera rakyat kepada anak-anak sebelum mereka masuk tidur. Melalui
cara ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa dengan anak bukan sahaja dapat
dipereratkan, malah anak-anak dapat mengetahui cara hidup dan budaya masyarakat
kita sendiri. Selain itu, ibu bapa bolehlah membelikan karya sastera untuk dibaca
oleh anak-anak supaya mereka dapat menghayati keindahan hasil warisan bangsa
selain dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah. Ibu bapa boleh menghadiahkan
novel yang sesuai kepada anak-anak mengikut umur mereka. Ibu bapa
juga perlu pilih bahan bacaan yang hendak dibeli untuk anak-anak sewaktu
membawa mereka berkunjung ke kedai buku mahupun pameran buku. Seterusnya, ibu
bapa harus menyediakan sebuah perpustakaan mini yang dilengkapi dengan pelbagai
bahan bacaan khususnya karya-karya sastera seperti prosa atau puisi tradisional
dan moden yang dihasilkan oleh pengarang tersohor di rumah. Dengan
itu, minat anak-anak untuk membaca karya sastera dapat dipupuk dan disemai
dalam jiwa mereka.
Di
samping itu, media massa turut memainkan peranan yang penting dalam
mengambil langkah menarik minat semua lapisan masyarakat membaca karya sastera.
Sebagai contohnya, pihak media boleh mempromosikan karya sastera kepada
masyarakat melalui radio, televisyen dan surat khabar. Melalui cara ini,
lapisan masyarakat dapat mengetahui cara untuk mendapatkan karya sastera di
pasaran. Bukan itu sahaja, pihak media juga boleh menyiarkan sudut sastera atau
ulasan karya sastera yang agung di akhbar dan majalah kepada orang ramai.
Dengan itu, orang ramai berpeluang untuk mengenali karya sastera di negara kita
dengan lebih mendalam. Tambahan pula, pihak media turut boleh menganjurkan
peraduan teka teki atau menulis sajak dan syair yang bertemakan karya-karya
sastera. Jelasnya, pihak media haruslah mengambil langkah untuk menarik perhatian
orang ramai untuk membaca karya sastera.
Seterusnya, pihak
kerajaan haruslah mengadakan pameran karya sastera dan kempen menghayati karya
sastera di seluruh pelusuk negara. Melalui langkah ini, rakyat berpeluang
untuk mengenali karya-karya sastera ini dengan lebih dekat. Tambahan pula,
pihak kerajaan boleh membina perpustakaan rakyat di setiap daerah bagi
memudahkan rakyat untuk membaca ataupun meminjam karya-karya sastera untuk
dibaca. Pihak kerajaan turut boleh mengambil inisiatif untuk mengurangkan kadar
cukai penerbitan karya sastera. Langkah ini dapat menurunkan harga buku
tersebut agar semua rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah berpeluang
untuk memiliki karya-karya sastera itu sendiri. Oleh itu, jelaslah bahawa pihak
kerajaan turut memainkan watak yang utama dalam mengambil langkah untuk menarik
minat orang ramai membaca karya sastera.
Akhir
sekali, pihak-pihak NGO seperti syarikat penerbitan harus menerbitkan
lebih banyak karya sastera supaya karya tersebut mudah didapati di
pasaran. Pihak penerbit boleh bekerjasama dengan penulis untuk mengeluarkan
berbagai-bagai genre sastera. Penerbit juga perlu memberikan bayaran
setimpal dan berpatutan kepada penulis. Persatuan Karya-karya Sastera boleh
ditubuhkan untuk melindungi karya-karya penulis supaya tidak dplagiat oleh
pihak tertentu yang bermotifkan keuntungan dan bagi membolehkan para
peminat berkongsi pendapat bersama dengan penulis. Kerajaan juga
boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera dalam setahun dan
bekerjasama dengan seberapa ramai penulis dan penerbit untuk menghasilkan karya
sastera yang bermutu.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semua pihak menggalas
tanggungjawab yang berat dalam usaha untuk menghidupkan minat orang ramai
membaca karya sastera. Masyarakat pula harus bersikap berhati
terbuka supaya langkah-langkah tersebut mendapat sambutan yang
hangat dan seterusnya berjaya direalisasikan. Kita selaku warga Malaysia
haruslah mencintai dan menghayati karya sastera kita kerana sastera merupakan
warisan bangsa dan mencerminkan identiti kita.
.