Langkah
Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita
Pengangkutan
awam di negara kita sedang berkembang maju. Kerajaan juga telah mengadakan
pelbagai langkah untuk menggalakkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan
awam bagi mengatasi masalah kesesakan khususnya di kawasan bandar.
Jelaskan
langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Zaman
beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun
yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu
ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi
kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan
telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem
pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita
boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan
(LRT), Kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara
Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti
menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah
diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Menurut
satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang
berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke
destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan
haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu
dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya
dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan
haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk
menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat
mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam
peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh
pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune
penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki
kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat
menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan
rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket
bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai
sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
Langkah
seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam
ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan
kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak
rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah
kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah
Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah
menggunakan kuasa elektrik seperti Shinkansen (bullet train) sehingga mencapai
kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif
berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan.
Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian
penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal.
Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan
membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut kerana masa
itu emas yang rugi dibazirkan semata-mata untuk menunggu kenderaan awam.
Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan
kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan
masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam
di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan
semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
Pada
masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di
dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai.
Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka.
Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika
berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara
ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan
LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain
menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga
mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan
menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali
detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti
alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang
berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan
sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang
pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang
berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang
televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki
pengangkutan awam.
Bagi
mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin,sistem
perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan
alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di
sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam
tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas
yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang
sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya
khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu
lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan
benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang
penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang
kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang
tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti.
Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak
polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam
tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang
digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin.
Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di
negara kita akan meningkat.
Pihak
pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka
untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan
perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat
meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak
kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini
sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan
kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan
jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider”
yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan
pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut
jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting
sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat
perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi
pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke
semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut
turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun
kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu
langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti
pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara
kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
Seperti
kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk
menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah
dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan
perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya
dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki
perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar,
tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam
hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat
melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api
dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera
sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai
pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam
tertanam dalam jiwa mereka.
Kesimpulannya,
pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita
seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran
udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari.
Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan
kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari
satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan
langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam
di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di
negara-negara lain bak kata pepatah, “duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi”, seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
.