Usaha-usaha
yang Boleh Diambil oleh Ibu Bapa untuk Menggalakkan Minat Membaca
Minat
membaca terutama membaca buku-buku ilmiah dalam kalangan anak remaja belum
mencapai tahap yang memuaskan. Ibu bapa memainkan peranan penting untuk
menggalakkan anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu.
Nyatakan
usaha-usaha yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mencapai hasrat tersebut.
Pada
era globalisasi ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk menggalakkan
anak-anak mereka membaca karya-karya ilmiah agar dapat melahirkan generasi yang
cinta akan ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana anak-anak muda pada era ini,
lebih gemar membaca bahan-bahan bacaan yang ringan seperti surat
khabar, novel cinta, komik, majalah hiburan dan animasi kartun.
Majalah atau buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan seperti buku-buku
motivasi, pembinaan kendiri, falsafah, Majalah Dewan Masyarakat, Solusi, Dewan
Budaya, Al Islam, dan Anis kurang diminati malah ada dalam kalangan
mereka yang tidak tahu akan kewujudan majalah tersebut di pasaran. Mereka
berpendapat bahawa membaca karya-karya ilmiah dianggap berat dan membosankan
kerana memerlukan minda untuk berfikir sedangkan majalah atau
buku-buku yang berunsurkan hiburan lebih seronok untuk dibaca kerana pembacaan
bagi mereka hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam masa senggang sahaja. Apa
pun yang jelas, buku yang baik adalah kunci kepada khazanah
kebijaksanaan. Ibu bapa merupakan insan yang penting untuk melahirkan anak
yang berilmu, bersahsiah baik dan dihormati oleh orang lain. Persoalannya,
apakah modus operandi yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melahirkan generasi
yang cinta akan ilmu pengetahuan?
Untuk
memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa haruslah membawa
anak-anak ke pesta buku atau pameran buku seperti Pameran Buku
Antarabangsa di PWTC yang diadakan pada setiap tahun. Hal ini dapat
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Apabila ibu bapa membawa
anak-anak ke pameran buku, minat anak-anak untuk membaca buku akan bercambah.
Anak-anak akan dapat melihat pelbagai jenis buku yang menarik serta
menyeronokkan untuk dibaca. Mereka berpeluang untuk memilih buku-buku yang
disukai dan diminati. Dalam hal ini, peranan ibu bapa amat penting untuk
membimbing anak-anak agar dapat memilih buku yang berkualiti yang mampu membina
pemikiran atau minda anak-anak. Selain itu, anak-anak juga berpeluang untuk
membaca buku-buku yang berunsurkan keagamaan, falsafah, motivasi dan
sebagainya.. Hal ini secara tidak langsung, dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dalam diri anak-anak. Di samping itu, anak juga berpeluang untuk membaca
buku-buku yang memaparkan sejarah negara lain. Hal ini, dapat meningkatkan
pengetahuan am anak-anak tentang Negara luar.Tegasnya, usaha ibu bapa membawa
anak-anak mereka ke pameran buku merupakan salah satu langkah efektif yang
melahirkan minat anak-anak untuk membaca karya-karya ilmiah dan
menjadi ulat buku dan seterusnya menjadi generasi yang cinta akan
ilmu pengetahuan.
Selain
itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam
aspek membaca. Justeru, ibu bapa hendaklah memulakan budaya membaca di rumah dengan
menyediakan persekitaran yang boleh merangsang minat anak-anak untuk
membaca buku-buku ilmiah. Ibu bapa hendaklah membaca buku-buku dan surat
khabar pada setiap hari terutama pada waktu senggang. Perbuatan ibu
bapa yang suka membaca pasti akan dicontohi dan diikuti oleh anak-anak kerana
pepatah menyatakan bagaimana acuan begitulah kuihnya, ke mana tumpah kuah
kalau tidak ke nasi. Pada zaman ini, anak-anak tidak tahu untuk mengisi masa
lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah Jadi, ibu bapa boleh mendidik
anak anak sejak kecil lagi untuk membaca buku-buku ilmiah. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya dan asas pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa boleh
melakukan aktiviti membaca bersama anak-anak pada hari cuti sewaktu semua ahli
keluarga berehat di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa janganlah menjadiseperti
ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan diri
sendiri tidak betul. Sekiranya, ibu bapa tidak pernah membaca
bahan-bahan ilmiah, bagaimanakah anak-anak hendak membaca bahan-bahan tersebut.
Anak-anak akan suka membaca apabila melihat orang tuanya membaca. Jelasnya, ibu
bapa harus menjadi suri teladan yang baik kepada anak-anak kerana
anak-anak akan menjadikan membaca sebagai satu amalan ke mana-mana sahaja
mereka pergi bak kata pepatah kalau asal benih yang baik jatuh ke laut
menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi
penawar.
Di
samping itu, ibu bapa perlu menambahkan sumber bacaan dengan membeli
banyak buku atau majalah yang yang
mengandungi ilmu pengetahuan yang boleh mengembangkan
minda anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa membaca
jambatan ilmu. Apabila anak- anak banyak membaca, sudah tentu
pengetahuan mereka pun akan meningkat. Sebagai ibu bapa, mereka hendaklah membeli
bahan bacaan secara tetap pada setiap bulan seperti Majalah Dewan Masyarakat,
Dewan Pelajar, Dewan Siswa, Al Islam dan Solusi selain surat khabar yang
dibeli secara harian. Secara tidak langsung, anak-anak akan tertarik untuk
membaca buku-buku dan majalah yang mengandungi banyak ilmu dan pengetahuan yang
dibeli oleh ibu bapa mereka. Minat untuk membaca bahan-bahan yang berkualiti
pasti akan bercambah dalam jiwa mereka. Anak-anak yang disuburkan dengan budaya
membaca, pasti dapat membina jati diri unggul, mempunyai minda sihat,
berketerampilan sebagai orang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Selain itu,
ibu bapa boleh memberikan hadiah berupa buku sempena hari lahir atau hadiah
sempena kejayaan anak-anak dalam pelajaran atau peperiksaan sebagai ganjaran. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh menghadiahkan buku-buku motivasi sempena hari lahir
anak. Hadiah tersebut dapat memotivasikan diri anak-anak. Mereka akan belajar
bersungguh-sungguh kerana menghargai jasa ibu bapa. Amalan seperti ini akan
menyebabkan anak-anak hidup dalam dunia buku. Tak kenal maka tak
cinta.
Seterusnya ibu
bapa juga hendaklah menggalakkan anak-anak membaca buku dengan cara
mendaftar anak mereka menyertai kelab buku. Melalui penyertaan dalam
kelab buku, anak-anak akan menyertai pelbagai aktiviti dan mengetahui
perkembangan buku yang terkini. Sebagai contohnya, anak-anak boleh
menjadi ahli Kelab Buku Ilmiah yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Apabila anak-anak menjadi ahli kelab buku, mereka didedahkan dengan pelbagai
perkara yang berkaitan dengan buku. Secara tidak langsung, anak-anak juga dapat
membezakan bahan bacaan yang bermutu dan bahan bacaan yang tidak berkualiti.
Anak-anak pasti memilih bahan-bahan yang berkualiti kerana boleh mematangkan
minda seseorang dalam mengeluarkan pendapat atau melakukan tindakan. Selain
itu, ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak menyertai Kempen
Galakan Membaca dan Kembara Buku yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Dengan menghadiri kempen-kempen membaca, anak-anak bukan
sahaja mendapat kesedaran tentang pentingnya membaca malah ibu bapa turut
memperoleh manfaatnya. Hamka pernah berkata “Berfikir itu cahaya,
kelalaian itu kegelapan, kejahilan itu kesesatan”. Tegasnya, ibu bapa
perlulah membawa anak-anak menghadiri kempen-kempen membaca dan menggalakkan
anak-anak menyertai ahli kelab buku agar anak-anak membaca
bahan-bahan ilmiah yang dapat membentuk anak-anak menjadi insan yang mulia dan
disanjung tinggi.
Selain
itu, ibu bapa boleh membina perpustakaan mini yang
mengandungi bahan-bahan ilmiah yang menempatkan pelbagai jenis buku
ilmiah seperti novel karya agung, kamus, buku- buku
agama, dan buku motivasi diri selain buku pelajaran dan buku
rujukan. Hal ini dapat menyuburkan minat anak-anak untuk membaca buku-buku
yang disimpan di rak buku tersebut. Ibu bapa juga hendaklah memainkan peranan
dan memastikan anak mereka membaca buku-buku yang disediakan dalam perpustakaan
mini di
rumah. Anak-anak juga digalakkan untuk
membaca surat khabar atau majalah ilmu pada setiap hari dan membaca sebuah buku
pada setiap minggu. Hal ini akan menyebabkan masa lapang anak-anak
terisi dengan aktiviti membaca tanpa perlu keluar rumah. Perpustakaan mini yang
disediakan oleh ibu bapa tidak memerlukan modal yang banyak. Buku-buku dan
majalah yang dibeli pada setiap bulan boleh disimpan dalam perpustakaan mini
tersebut. Pembacaan buku dan majalah yang berulang kali dapat menguatkan minda
anak-anak. Pepatah menyatakan bahawa bangsa yang membaca, bangsa yang
berjaya. Apabila anak-anak sudah biasa didedahkan untuk membaca
surat khabar pada setiap hari dan sebuah buku pada setiap minggu,
anak-anak akan biasa berbuat demikian dan menjadikan
membaca sebagai amalan rutin harian kerana alah bisa, tegal dek
biasa. Mereka akan selalu membaca apabila ada masa
terluang dan mereka akan menghargai masa kerana masa itu emas. Tambahan pula,
jika ibu bapa mempunyai waktu terluang, mereka bolehlah membawa anak-anak ke
perpustakaan awam yang berhampiran dengan tempat tinggal
mereka. Perpustakaan awam memuatkan berjuta-juta buku yang boleh
meningkatkan ilmu pengetahuan anak-anak. Malahan, apabila anak-anak pergi ke
perpustakaan awam, mereka dapat membaca buku dalam keadaan yang senyap, aman,
damai dan tenang. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak mereka ke
perpustakaan awam dan menyediakan perpustakaan mini di rumah dapat melahirkan
generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
Tambahan
lagi, ibu bapa juga boleh memupuk minat membaca bahan-bahan ilmiah dengan
membimbing anak-anak mereka melayari internet.Internet merupakan sumber ilmu
yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat. Namun, terdapat remaja yang
yang menyalahgunakan internet seperti melihat gambar-gambar lucah. Dalam
konteks ini, ibu bapalah merupakan pembimbing kepada anak-anak mereka. Ibu bapa
perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari judul buku
ilmiah yang terkenal supaya boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran. Hal
ini dapat menggalakkan anak-anak membaca karya-karya ilmiah supaya boleh
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan. Ilmu yang diperoleh
daripada bahan-bahan ilmiah boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Hal ini
disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam bahan bahan ilmiah penting dalam
kehidupan. Justeru, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat
membaca buku-buku ilmiah.
Secara
izharnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa untuk melahirkan generasi
yang cinta akan ilmu pengetahuan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting
menggalakkan anak-anak membaca bahan-bahan ilmiah. Ibu bapa harus menanamkan
sikap suka membaca dalam kalangan anak mereka kerana membaca akan menjadikan
minda anak-anak mereka cerdas. Oleh hal yang demikian, ibu bapa
mestilah menjadi pendorong untuk menyemaikan minat membaca dalam kalangan anak
mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti membaca,
kejayaan dalam bidang pelajaran akan terbentang luas di depan mereka pada masa
depan. Ibn Khaldun dalam karya besarnya, Muqaddimah, pernah berkata
bahawa kekuatan ilmu bukan sahaja menjadi syarat dan pelengkap kepada
kekuatan fizikal, malah memberi arah dan makna kepada manusia dan bangsa
terbabit. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
melahirkan generasi yang cinta akan ilmu pengetahuan.
.