Amalan
Remaja yang Sihat
Kesihatan
dari segi fizikal, mental, rohani dan emosi amat penting dalam kehidupan
remaja.
Berdasarkan
pernyataan di atas, huraikan amalan-amalan remaja yang sihat.
Kesihatan
bukan sahaja berkaitan dengan bebas daripada penyakit tetapi juga memiliki
pemikiran yang cerdas bersama-sama emosi yang stabil. Pemilikan kesihatan yang
baik penting buat remaja kerana tahap kesihatan ketika usia mudalah yang akan
menentukan tahap kesihatan mereka pada masa tua kelak. Malah, penting untuk
remaja sentiasa membesar dengan sihat kerana negara ini bergantung harap kepada
generasi muda untuk kemajuan masa hadapan bak kata pepatah “Pemuda harapan
bangsa, pemudi tiang negara”. Mantan Presiden Indonesia pernah
berkata, “Berikan aku sepuluh orang remaja waja, pasti aku biasa
goncangkan dunia” jelas membuktikan bahawa remaja yang waja sihat mental
dan fizikal mampu mengorak kemajuan sesebuah negara. Untuk mendapatkan
kesihatan yang baik, remaja harus melakukan amalan yang baik untuk perkembangan
fizikal, mental dan emosi.
Antara
amalan yang harus dilakukan ialah remaja perlu mempunyai disiplin diri
yang baik. Maksud disiplin dalam aspek ini ialah remaja itu mematuhi
jadual belajar, menghormati orang tua, guru, rakan-rakan dan peraturan budaya
serta undang-undang negara. Remaja yang berdisiplin sebegini pasti tidak akan
terjebak dalam sebarang aktiviti yang tidak sihat dalam kehidupan mereka lalu
mampu memiliki tahap kesihatan yang baik. Maka, amalan disiplin yang baik
menjadikan seseorang remaja itu mempunyai kesihatan yang baik. Sesuai dengan
pendapat ahli falsafah Hamka yang mengatakan bahawa, “Di dalam medan
hidup, ada beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yang
berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan kebersihan akal dan yang berhubung
dengan kemuliaan adab dan budi”.
Selain
itu, remaja juga perlulah mengamalkan cara hidup yang sihat.Konsep cara
hidup yang sihat ini meliputi makanan yang seimbang, melakukan riadah dan
aktiviti kemasyarakatan seperti melakukan kebajikan di rumah anak-anak yatim
dan melawat rumah orang-orang tua. Aktiviti tersebut akan membantu kecerdasan
fizikal dan mental remaja kerana badan cergas, otak cerdas. Sudah
banyak kajian yang membuktikan bahawa amalan cara hidup yang sihat menjadikan
diri seseorang itu lebih positif dan mampu menjalani kehidupan mereka dengan
lebih baik lagi. Terdapat sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya
orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak
dan adab sopannya”. Sesungguhnya, cara hidup yang sihat menjamin kesihatan
yang seimbang kepada remaja di negara ini.
Malahan, amalan
mempelajari dan mematuhi ajaran agama merupakan satu lagi amalan yang
turut mampu menguatkan kesihatan seseorang itu. Semua ajaran agama menekankan
aspek keseimbangan kehidupan seseorang supaya mampu menjalani satu
kehidupan yang baik di dunia dan akhirat kelak. Sikap mematuhi amalan agama
memberikan remaja satu matlamat hidup yang mampu meninggikan tahap kesihatan
mereka pada masa yang serupa pula. Ahli falsafah Hamka pernah mengatakan
bahawa “Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak
merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan
bahagia jiwa”.Jadi, sikap mematuhi ajaran keagamaan boleh memberi remaja satu
kepuasan dalam hidupnya yang berupaya juga meningkatkan tahap kesihatan.
Remaja
juga perlu bersikap tegas terhadap tindakan-tindakan negatif yang
wujud dalam kehidupan mereka. Sikap suka merokok, melepak, dadah dan jenayah
haruslah dikikis dalam minda remaja. Ketegasan remaja dalam semua aspek di atas
itu mampu menjauhi remaja daripada sebarang kemelut sosial yang melanda negara
ini lalu memberikan kesihatan yang baik kepada remaja juga. Bukan sahaja remaja
sihat tetapi mereka seolah-olah sedar keperluan atau kepentingan hidup mereka
di dunia ini.
Amalan
murni yang penting diamalkan seterusnya ialah remaja hendaklah mampu
mengawal emosinya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah.Ketenangan inilah
yang memberikan remaja satu pemikiran yang rasional dan rela berbincang apabila
mengalami sesuatu kemelut dalam hidup mereka. Semua tindakan yang diambil
ketika berfikir rasional mampu memberikan satu persepi baru yang boleh
menunjukkan jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi itu. Pujangga pernah
mengatakan bahawa tiada satu kejahatan pun yang dapat dinilai sebagai
baik, meskipun melakukan kejahatan itu dikatakan bertujuan baik. Oleh itu,
sikap rasional ketika melakukan sesuatu tindakan boleh menjadikan kesihatan
seseorang itu lebih baik.
Kesimpulannya,
semua amalan yang positif ini perlu dilaksanakan oleh remaja. Kesihatan remaja
yang mengamalkan semua amalan ini pasti baik kerana bukan sahaja tubuh mereka
sihat tetapi emosi serta pemikiran mereka turut menerima impak positifnya.
Ingatlah bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Remaja yang sihat
sebeginilah yang diperlukan oleh negara dalam mengharungi cabaran kehidupan
moden kini. Sekiranya remaja benar-benar sedar tentang kepentingan amalan hidup
yang sihat, pasti remaja akan berusaha untuk mencapainya kerana hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih.
.