Langkah-langkah
Mempopularkan Permainan Tradisional
Masyarakat
Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai
keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana
hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu.
Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang
dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian
daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang
menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman
cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan
berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan
diri dengan keadaan yang demikian ibarat kata “alah bisa tegal biasa”. Apabila
sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan
turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat.
Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara
kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan
tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli,
congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat
daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop, permainan ini seolah-olah
dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita ibarat melukut ditepi
gantang malah hidup segan mati tak mahu. Oleh itu, pelbagai
langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan
tradisional pada hari ini.
Keluarga
mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan
tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi
anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu
congkak dan gasing. Melalui langkah ini, ternyata anak-anak akan berasa
terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita. Pada
waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain
permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain
permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Bahkan, ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam
kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan
tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini
dapat mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam
tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya
menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang
berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu, setiap ahli
keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan
permainan tradisional negara kita.
Selain
itu, permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan
daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan
menganjurkan kelab permainan tradisional dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal
ini, pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan
sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi
galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai
jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai
contoh, permainan congkak, permainan gasing dan permainan batu seremban.
Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini
dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini
kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional
kerana jauhari jua yang mengenal manikam.
Pihak
sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir
dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan.
Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu.
Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat
mengetahui tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan
pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan
tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak
alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka
sukar mendapatkan permainan ini, minat mereka mulai pudar dan beranggapan
peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan
tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad.
Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek
moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang, kos
untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat
membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan
tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah, pelajar akan
berminat untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang
menyertai kelab ini, bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan
tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan
timbul lagi.
Pihak
sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan
tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat
permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang
selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan
yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk
menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan
adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Dalam
fasa itu, masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan
sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan
tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti
kelab sepak raga, kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali
permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya
kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan
tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek
panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya
mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat
mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya, dengan
penglibatan bilangan komuniti yang ramai, usaha untuk mempopularkan permainan
nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi
ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak
permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik
perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai
pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu
bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaja tanpa
mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu
berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini
akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.
Langkah
yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialahkerajaan hendaklah
mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosiyang progresif menerusi media
massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat tentang peri pentingnya
kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah
lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai
peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan
ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah
mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen
“Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang
Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah
tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara
mahupun luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan
tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal,
maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu
bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’. Oleh hal yang demikian, dengan
adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional
mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.
Minat
yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau, layang-layang, sepak
raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk
memainkannya. Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih
banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan
rakyat bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang
strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat
lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan
bermain permainan tradisional. Selain itu, jurulatih yang terlatih juga patut
disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara
sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan
peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di
mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional
ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah
satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh
ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai
salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur
dengan tebing dalam permainan ini dapat meningkatkan perpaduan
dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi
1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat
digarap sepenuhnya. Hal ini sesuai dengan pepatah yang berbunyi, “ ada
padi semua jadi, ada beras semua deras”.
Secara
tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan
permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital,
imperatif, kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis
negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan
kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi
pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan
tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi
muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut
ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan
generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat
digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan
datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah
menghimpun madu, agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan
terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.
.