Format
syarahan: Punca-Punca Berlakunya Gejala Buli dan Langkah-langkah Menanganinya
Anda
telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah
anda. Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli
dalam kalangan pelajar di sekolah dan langkah-langkah menanganinya.
Tuliskan
teks syarahan anda selengkapnya.
Yang
Berusaha Tuan Pengetua SMK Khir Johari, Puan Hajah Fatimah bt Yusof, Yang
dihormati Guru Penolong Kanan Puan Aisyah bt Ahmad, barisan hakim
yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian.
Assalamualaikum, salam sejahtera serta salam satu Malaysia.
Tuan-tuan
dan puan-puan sekalian,
Berdirinya saya
pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang
bertajuk ‘Punca-punca gejala buli di sekolah serta langkah-langkah
menanganinya’. Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya
kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai
kata 'gejala buli?
Hadirin
yang dihormati sekalian,
Menurut
Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti
memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang
dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini
menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin
serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok
bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai
puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang
kepada masalah kes buli ini.
Sebenarnya,
antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan
nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang
terlibat. Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai
murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan
agama. Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia,
kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan
sebagainya. Malah setiap agama di dunia ini juga seperti agama
Kristian dan Hindu turut menekankan nilai-nilai murni yang baik dalam
kehidupan. Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi
menghayati dan mengamalkan suruhan agama. Mereka sanggup berbuat
demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan
kekuatannya kepada orang lain. Ahli falsafah tersohor, Hamka, pernah
mengatakan, “Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama ialah perasaan malu
iaitu enggan mendekati suatu yang tercela, boleh dipercayai di dalam pergaulan
hidup iaitu amanah, benar dan jujur”. Ringkasnya, ketandusan nilai
keagamaan dalam diri mereka menyebabkan gejala buli ini semakin
berleluasa.
Selain
itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli
ini. Pada zaman yang serba moden ini kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk
dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan
mereka. Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang,
kemesraan dan perhatian kepada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir
ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka
tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang
remaja. Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan
bulat-bulat kepada pembantu rumah dan guru di sekolah. Anak-anak yang
ketandusan kasih sayang ini akhirnya beralih perhatian ke arah perkara-perkara
yang tidak baik. Pujangga lama Melayu ada berbunyi, “Anak yang ditinggalkan
ayah, jarang yang tidak luka jiwanya sampai besar”. Justeru, kekurangan
perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.
Di
samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah
satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli
ini. Para pelajar yang masih terlalu
muda, dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk
pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan
matang. Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan
rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka
itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan
terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pujangga mengatakan, bersahabat dengan orang jahat itu ibarat
berperahu di laut. Sungguhpun kita selamat daripada tenggelam tetapi kita tidak
terlepas daripada rasa takut. Malah ahli falsafah turut mencoretkan
bahawa, sahabat sering menjadi musuh. Oleh itu berhati-hatilah memilih
sahabat. Jelaslah, rakan sebaya yang menjadi orang penting
dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.
Bagaimana
dengan pihak media massa? Seperti yang kita ketahui, media masa
terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan,
pergaduhan dan sebagainya. Filem dan rancangan terutamanya dari
barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti,
filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membawa pengaruh buruk kepada
remaja kita. Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk
membuli rakan-rakan mereka yang lain. Ibarat pepatah, sedikit-sedikit
lama-lama jadi bukit, kian hari perkara yang dipertontonkan kepada remaja
menjadi ikutan dalam diri mereka sehingga merasa bangga untuk membuli
rakan-rakan yang dipandang lebih lemah atau kekurangan.
Tuan-tuan
dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,
Bak
kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’. Terdapat
pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras
kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran
dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam kurikulum
di sekolah. Contohnya, melalui mata pelajaran seperti
Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya, ilmu
tentang gejala-gejala negatif terutamanya buli dan kesan-kesan buruknya perlu
dimasukkan dalam sukatan. Dengan itu, pelajar akan menyedari
bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan yang boleh menggelapkan masa
hadapan meeka. Pelajar juga didedahkan dengan pelbagai
maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara
mengelakkan mereka daripada terbabit dalam kes buli ini. Pencegahan awal terhadap
masalah ini perlu dititikberatkan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya.
Selain
itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan
secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para
pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Pihak luar
seperti NGO boleh dipanggil untuk mengadakan pameran dan ceramah tentang gejala
buli ini. Selain itu pihak sekolah sendiri boleh menganjurkan
aktiviti seperti kuiz, pidato dan sebagainya tentang kes buli dan juga boleh
menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah
dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak
pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi
pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang
diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya
supaya tidaklah nanti sudah terhantuk baru nak terngadah.
Seterusnya
, yang paling penting ialah diri pelajar itu sendiri. Para
pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana kawan yang baik akan membawa
mereka ke arah kebaikan dan begitulah sebaliknya. Umpama berkawan
dengan penjual minyak wangi, secara tidak langsung badan kita juga akan
sentiasa wangi. Contohnya, jika berkawan dengan orang yang minat membaca
buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan gemar membaca
bersama-sama. Oleh itu, pelajar mesti bijak memilih kawan
supaya tidak terjebak dalam gejala buli di sekolah bak kata pujangga, sebaik-baik
sahabat ialah yang elok dalam perangai dan budi pekerti. Namun, ahli
pujangga juga menasihatkan bahawa, “Supaya engkau beroleh sahabat,
hendaklah diri engkau sendiri sanggup menyempurnakan menjadi sahabat orang”.
Di
samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak
sekolah bagai aur dengan tebing dalam usaha untuk membendung gejala
ini. Para pelajar boleh menjadi mata dan telinga kepada para guru di
sekolah. Contohnya jika para pelajar ternampak kes buli itu berlaku atau
menjadi mangsa pembuli, mereka harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada
guru disiplin atau pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi
dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. Dalam hal ini, pelajar
sendirilah yang harus memainkan peranan penting dan tahu bertindak dengan wajar
apabila melihat gejala buli dalam kalangan pelajar. Pelajar harus menjaga
maruah mereka kerana janganlah disebabkan segelintir pelajar yang suka membuli
menyebabkan maruah pelajar-pelajar di sekolah tersebut tercemaribarat nila
setitik rosak susu sebelanga. Sesuai dengan peribahasa yang
berbunyi, seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit.
Hadirin
yang dihormati sekalian,
Memang
tidak dapat dinafikan lagi, pihak sekolah turut memainkan peranan
penting untuk menangani gejala buli ini. Setiap laporan yang diterima
daripada guru atau pelajar mesti diambil tindakan dengan
segara. Pihak sekolah haruslah bersungguh-sungguh dalam soal ini dan
janganlah hanya melepaskan batuk di tangga dalam menangani isu ini.
Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam
kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh
pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah tidak harus
berkompromi dengan kes buli malah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada
pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga
dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Sesungguhnya, mencegah
itu lebih baik daripada mengubati.
Tidak
syak lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang pentingdalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada
anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka
kerana bapa borek, anak rintik. Ibu bapa juga perlu menunjukkan
tingkah laku yang baik, contohnya tidak bertengkar atau bergaduh di
hadapan anak-anak, bergaul dengan baik dan mesra ketika berurusan dengan jiran
tetangga dan orang lain. Bak kata bidalan, bagaimana acuan ,
begitulah kuihnya. Ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang
berakhlak mulia. Sebuah al-Hadis yang bermaksud, “Peliharalah anak-anakmu
dan perbaikilah budi pekerti mereka. Sesungguhnya anak-anak itu adalah hadiah
Allah kepadamu,” jelas membuktikan bahawa peri pentingnya tanggungjawab
ibu bapa dalam mendidik tingkah laku peribadi anak-anak.
Tambahan
pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk
bekerja, ibu bapa juga harus meluangkan masa dengan anak-anak dan sentiasa
mengambil berat tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah. Contohnya,
pada hujung minggu atau cuti, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti untuk
mempererat kemesraan keluarga. Perhatian dan belaian
kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka akan menyebabkan mereka tidak
berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari anak-anak mereka sejak kecil lagi seperti pepatah,melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Dengan ini anak-anak akan menyayangi ibu
bapa dan sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada
mereka bagi mengatasinya bersama-sama. Hamka pernah mengatakan, “Sewaktu
kecil anak-anak lelaki menjadi perhiasan mata kerana lucunya, kerana dia itu
harapan. Maka setelah dia besar, dia menjadi kebanggaan kerana kejayaan
hidupnya”.
Natijahnya,
selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan
satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana
para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini
pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang
negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati
sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa
mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat
daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang
nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.
Hadirin
yang dikasihi sekalian,
Sebelum
saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada
kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi. Semoga apa yang
telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.
Kalau
ada jarum yang patah,
Jangan di simpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan
disimpan di dalam hati.
Padi
muda jangan ditampi;
Padi
huma si beras jati;
Generasi muda harapan pertiwi,
Didiklah
mereka seikhlas hati.
Sekian. Terima
kasih.
.