Peranan
Ibu Bapa dalam Usaha Memupuk Semangat Kejiranan
Semangat
kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Dalam
kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri
atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran.
Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak
yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding
dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam,
konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah
rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan
pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur
dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang
menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain
dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan,
usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran
Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam
kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu
dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang
dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota
masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat
terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif
wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat?
Menyedari
hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk
di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapaagar nilai yang
berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa
haruslah menyertai aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh
komuniti atau masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak
menyertai aktiviti tersebut bersama. Melalui aktiviti gotong-royong,
semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang
aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang,
mereka akan dapat berbual-bual dan berkenal-kenalan antara satu sama lain dan
sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan
lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang
mengatakan bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti
yang boleh dijalankan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasamabagai
aur dengan tebing agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan
lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat menjalinkan
hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga sedar akan peranan
masing-masing dalam sesuatu komuniti . Apabila dewasa kelak, anak-anak akan
melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan ikatan kejiranan
kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Jelasnya, ibu bapa haruslah
mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam
masyarakat.
Selain
itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik
kepada anak-anak sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan
dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah mengamalkan cara hidup seperti‘aur dengan
tebing’ atau ‘ ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni’dan ‘hati
gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ untuk mencapai keberkatan
dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah masyarakat, ibu
bapa mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan
terhadap jiran mereka.. Apabila mengambil berat akan
hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain mereka atau
mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu
masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan cuba membantu mereka supaya
dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran. Hal ini demikian kerana,
dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan
masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan dengan bantuan
orang lain. Misalnya, ketika ketua keluarga sakit tenat, maka ahli-ahli
keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga
itu ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada
mereka, mendapatkan bantuan nasihat ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap
keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di
samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri
majlis-majlis rumah terbuka sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan
mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, tetapi juga
mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis
rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis
tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan mengenali antara satu sama
lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang
sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan
oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama
dan budaya masing-masing di negara ini. Sebagai contoh,
majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru
Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan.
Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah terbuka, bukan
sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu
budaya malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak
dan mengamalkan semangat perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka
mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk
bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu ibarat kata yang
jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.
Seterusnya, ibu
bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan
masyarakat sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat
kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan
membawa anak-anak-anak menziarahi jiran tetangga
pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita
akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka
lebih aman dan harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai
contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika
kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk
sifat kasih sayang dan sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap
mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan “seperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing”. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa “berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya”,
namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip“cubit peha
kiri, peha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita,
sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran
kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman
dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah
sama seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya
kunjung-mengunjungi dalam diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan
kerana “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”.
Akhir
sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri
dalam aktiviti sosial seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering
mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan
masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi
atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli
keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu
bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup berpersatuan
dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur.
Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan
sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan
dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai
contoh, melalui Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal atau taman untuk
mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,
merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa
Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebingyang mementingkan semangat
sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan “ibarat
ke bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni”. Jelasnya, ibu bapa berperanan
penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti
sosial sebagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan
perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap
individu amat penting untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan
membentuk perpaduan kaum. Walau apa pun keadaan dan di mana-mana pun
kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang
menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan
sentiasa menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita
senang. Jadi, untuk mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menjadikan diri
kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik
dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan
kata “Jiran Sepakat Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam
kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam usaha mengamalkan
budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh
keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan,
perpaduan kaum akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah
sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara
supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang
maksudnya, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.
.