(TEMA)
Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di
negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya
Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka
sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah
rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (ISU) Kerajaan
Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau
agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat
kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (ARAHAN) Menyedari
kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional,
persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah
kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
(ISI 1)
Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan
terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat
di negara kita. (MENGAPA) Perpaduan
yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan
visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain
itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat
mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang prejudis
terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan
yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep
politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. (BAGAIMANA) Jadi,
setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh
berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang
perlu dibimbangi. (KESAN) Sehubungan
dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan
yang lebih harmoni. (PENEGAS)Tegasnya,
konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
(ISI 2)
Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta
pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum
memahami budaya kaum-kaum lain. (MENGAPA)Mereka
hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar
belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum
mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain
didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (BAGAIMANA)Sebagai
contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan
sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga
sebaliknya. (KESAN) Hal
ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya
yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di
negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam
kalangan generasi sekarang. (PENEGAS) Pendek
kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni
ini.
(ISI 3)
Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah
terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong
di negara kita. (MENGAPA) Mereka
bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara
tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan
keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum
masing-masing. (BAGAIMANA) Kerajaan
melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama
kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka
Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari
Gawai, Deepavali dan Krismas. (KESAN)Pengalaman
pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan
menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka
sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan
industri pelancongan negara. (PENEGAS) Izharlah
bahawa konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata
pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah
payung keharmonian.
(ISI 4) Amalan
rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan
kekeluargaan. (MENGAPA) Hal
ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini
merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan
silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan
agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya
semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan
perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan hilang kepada
generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. (BAGAIMANA) Semasa
menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan
kerinduan di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain.
Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam
pertemuan ahli keluarga ini. (PENEGAS) Ringkasnya,
hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika
amalan rumah terbuka dibudayakan.
(PENUTUP)
Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa
kebaikan kepada negara dan masyarakat. (CADANGAN) Oleh
itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak.
Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan
mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita
tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat
berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka. (HARAPAN) Jika
amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan
Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan
Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil
di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang
berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia.
.