PERMAINAN
TRADISIONAL DI NEGARA KITA
Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis permainan.Satu
daripada permainan yang wajar kita berikan perhatian ialah permainan
tradisional.
Permainan tradisional adalah seperti gasing, wau, sepak raga, congkak,
galah panjang dan teng-teng. Permainan tradisional ini sangat popular di
kalangan masyarakat pada masa lalu.
Permainan wau digemari oleh masyarakat pantai timur. Permainan congkak digemari
oleh gadis remaja dan dianggap sebagai permainan dalaman. Permainan gasing dan
sepak raga pula digemari oleh remaja
lelaki dan selalunya permaian berlangsung pada waktu petang. Walau
bagaimanapun, kini, permainan tradisional semakin kurang diminati oleh
masyarakat khususnya generasi muda.
Permainan tradisional kurang
diminati kerana perkembangan teknologi
moden yang begitu pesat. Komputer dan permainan video dengan keunikan yang tersendiri
dapat menarik perhatian generasi muda
untuk menggunakannya. Pelbagai permainan yang sentiasa diperbaharui dalam
internet menyebabkan seseorang itu tertarik untuk bermain komputer dan tidak
berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional. Selain itu, masyarakat
menganggap permainan tradisional tiada nilai komersial. Hal ini berlainan
dengan permainan bowling, badminton ataupun bola sepak yang memberikan pulangan
yang lumayan. Misalnya, penglibatan Shalin Zulkifli dalam sukan bowling
mendatangkan pendapatan yang lumayan dan menaikkan namanya dan nama negara di
peringkat antarabangsa. Penglibatan dalam permainan tradisional seperti permainan wau tidak dapat memberikan faedah dari segi
kewangan.
Selain itu, bahan untuk permainan
tradisional ini sukar dicari di samping memerlukan kepakaran yang tinggi. Bagi
membuat congkak dan gasing misalnya, tukang gasing dan congkak memerlukan kayu
yang bermutu. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pokok-pokok di hutan semakin
pupus akibat penebangan hutan yang tidak
terkawal. Untuk membuat wau pula memerlukan kepakaran tertentu.
Kesimpulannya, permainan tradisional
perlu diperkenalkan kepada masyarakat agar generasi akan datang mengenali
permainan tradisional ini dan tidak hilang ditelan zaman. Kempen dan galakan
untuk melibatkan generasi muda perlu dilaksanakan dengan segera.
.