Peranan
Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga
Semua pihak telah
maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga
adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi
dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia,
bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke
hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir
besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India,
dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas,
namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada
garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan
adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan
dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara
melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang
ditanggung.
Budaya
berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam
situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana
darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat
ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu
dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu
seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata
ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan
sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas
terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu
lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun
segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah,
jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20
justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat
amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Anak-anak
yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah
maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah
menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki.
Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata
memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti
akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan
berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada
anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan
kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan
yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya
ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan
ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak
daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit
sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.
Walaupun
bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti
Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka.
Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara
kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu
dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu
lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang
penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak
teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed
Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang
berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu,
langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang
cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu
di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.
Bak
kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah
peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada
induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang
telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas
budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa
mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk
melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya.
Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah.
Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan
anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh
itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab
untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk
membuang lemak, cerdik membuang saudara.
Kaya
atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah
sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus
asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang
digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin
esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan
tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ
ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah
untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam
pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu
berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh
Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan
mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum
itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan
tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan
tetap bersama-sama kita.
Kesimpulannya,
ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan,
setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak
dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab
mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh
menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan
sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang
jalan berliku ada penghujungnya.
.