Senarai
Pantun Yang Boleh Digunakan Dalam Karangan
Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda
memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah
baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam
karangan anda.
Ombak badai menggulung-gulung
Kelasi terdampar di tepi pantai
Hajat di hati nak peluk gunung
Apakan daya tangan tak sampai
Maksud: Bercita-cita besar, namun
tak tercapai.
Budak-budak bermain rakit
Rakit buluh tolong buatkan
Harap-harapkan guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan
Maksudnya: Bodoh mendengar cakap
orang sehingga diri sendiri kerugian
Hujan panas turun berderai
Guruh menyambar pohon jati
Kasih sayang tak boleh bercerai
Bagaikan rambut bersimpul mati
Maksud: Perasaan cinta dan kasih
sayang yang sangat erat
Burung puyuh burung taktibau
Terbang tinggi si burung bayan
Di dalam kilat ada kilau
Rupanya awan mengandung hujan
Maksud: Orang yang berpura-pura baik
tetapi sebenarnya ada niat tidak baik
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi
Maksud: Sia-sia melakukan sesuatu
kerja jika tak cukup kepakaran dan kemahiran
Ayam hutan terbang ke hutan
Turun ke tanah mencari makan
Kerana digila burung di hutan
Denak di rumah mati tak makan
Maksud: Sanggup tinggalkan seseorang
yang dekat kerana dapat orang baru
Orang gagah pergi berperang
Terlalu berani lagi perkasa
Gajah mati meninggalkan tulang
Manusia mati meninggalkan jasa
Maksud: Hidup biar berjasa supaya
mati dikenang orang
Ku sangka nanas atas permatang
Rupanya durian tajam berduri
Ku sangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengahari
Maksud: Kebahagiaan yang hanya
sementara/ ujian yang datang tanpa diduga
Kalau mandi pergi ke tebat
Tunggu malam bulan mengambang
Kalau berjanji tak pernah tepat
Macam biawak lidah bercabang
Maksud: Orang yang suka
berdalih-dalih dan mencipta pelbagai alasan
Dara bersimpu dihujung bendul
Sambil leka bersembang-sembang
Cakap tidak pernah betul
Macam lidah tidak bertulang
Maksud: Orang yang kuat menipu dan
tak boleh dipercayai
Berbunga lebat pohon rambutan
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan
Jangan lupa rumput di bumi
Maksud: Jangan lupa diri dan
asal-usul setelah menempa kejayaan
Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri
Maksud: Cuba lihat kekurangan diri
kita sendiri
Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh setengah
Sepandai-pandai tupai melompat
Sekali sekala jatuh ke tanah
Maksud: Betapa pintar dan liciknya
orang yang berbuat salah, suatu hari akan tertangkap juga akhirnya.
Satu tangan jarinya lima
Dua tangan jarinya sepuluh
Saya tanam pokok delima
Mengapa peria pula yang tumbuh?
Maksud: Berbuat baik pada orang
tetapi dibalas dengan kejahatan
Gesek biola tiup serunai
Sayu dara berhati walang
Putih mata si burung punai
Kayu ara ditunggu helang
Maksud: Gadis pingitan yang dikawal
rapi oleh ayahnya
Tumbuk padi jadikan emping
Buat juadah teman sebaya
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?
Maksud: Ingin melamar seseorang yang
berbeza darjat dan tarafnya
Pendekar handal di tengah gelanggang
Pendekar bergelar Raja Saksama
Bagaikan pipit dengan enggang
Manakan boleh terbang bersama?
Maksud: Orang yang tak sama taraf
dan darjat tak boleh berbaik dan berkawan rapat
Pergi ke rumah Cik Mariam
Ramai orang tengah berjaga
Carik-carik si bulu ayam
Lama-lama bercantum juga
Maksud: Adik beradik yang bergaduh,
lambat-laun berbaik semula
Anyam sarung ketupat pulut
Ketupat hendak direbus juga
Tidak sudahnya seluang melaut
Akhirnya kembali ke pantai juga
Maksud: Orang yang merantau jauh
sampai masa pulang ke tempat asalnya
Bukan saya condong ke dulang
Saya tak mahu condong ke desa
Biar saya berputih tulang
Saya tak mahu berputih mata
Maksud: Sanggup berjuang mati-matian
kerana tak sanggup kecewa
Lemaknya nasi bergulai udang
Lemak berbau santan kelapa
Rela kumati berputih tulang
Tidak kumahu berputih mata
Maksud: Sanggup berjuang
habis-habisan kerana tak sanggup kecewa
Cabang apakah tidak bergetah
Kiranya embun turun pagi
Tanah tak lekuk kayu tak patah
Ular dipalu mestilah mati
Maksud: Buat sesuatu kerja biarlah
cermat supaya siap sempurna
Petani pergi ke bendang
Tangkap keli masuk ke
bakul
Sungguh berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul
Maksud: Orang yang menanggung
masalah lebih menderita daripada orang yang melihat penderitaannya
Bunga Melur kembang sekaki
Mari dibungkus dengan kertas
Di dalam telur lagi dinanti
Inikan pula sudah menetas
Maksud: Sudah terlalu lama menunggu
dan bersedia sehingga masanya
Bunga telepuk kembang separak
Kembang bersusun setiap batang
Awan bertepuk mega bersorak
Bulan terbit dipagari bintang
Maksud: Lelaki tampan yang
dikelilingi wanita-wanita cantik
Medang sila buahnya cantik
Jatuh menimpa ke pasu bunga
Dengan sebab nila setitik
Habis rosak susu sebelanga
Maksud: Satu kesalahan telah menyebabkan
semua orang terkena tempiasnya
Hulubalang pergi berperang
Gempita bunyi gendang dipalu
Jangan suka serkap jarang
Nanti sendiri yang terima malu
Maksud: Main teka-teka atau
tuduh-menuduh
Tarik dayung berderap-derap
Hendak melawan sampan kotak
Dia ibarat si bunga dedap
Sungguh pun merah berbau tidak
Maksud: Gadis cantik tetapi tidak
mempunyai nilai kesopanan
Lalu di depan bongkok menunduk
Tanda hormat tidaklah takbur
Ibarat telur di hujung tanduk
Jika tergolek pecahlah bersembur
Maksud: Berada dalam keadaan yang
sangat bahaya
Nyiur gading puncak mahligai
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai
Belum dapat belum berhenti
Maksud: Sanggup berjuang
habis-habisan sehingga akhir hayatnya
Tampi melukut di hujung tambak
Orang kota memasang rantai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai
Maksud: Jika takut cabaran, jangan
pura-pura berani
Limau purut lebat ke pangkal
Daun selasih di dalam raga
Kalau kail panjang sejengkal
Lautan dalam jangan diduga
Maksud: Jika tak cukup persediaan,
jangan berhajat atau berlagak besar
Angin turun bersama ribut
Melanda segala apa jua
Kasih ibarat embun di rumput
Datang panas keringlah ia
Maksud: Kasih yang kemungkinan besar
akan berubah hati
Kayu keras si kayu kempas
Alas tempat orang berjudi
Ada beras kerja pun deras
Ada padi kerja pun menjadi
Maksud: Jika ada kemahiran dan
keupayaan, segala kerja mudah dilakukan
.