SUKAN
BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA
Bidang
sukan merupakan bidang yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat di
Malaysia. Bidang ini bukan sahaja diadakan di sekolah malah dianjurkan di
peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Akhir-akhir ini, Malaysia semakin terkenal dalam menganjurkan sukan bertaraf
dunia.
Antara
kejohanan sukan bertaraf dunia yang dianjurkan oleh negara kita ialah Kejohanan
Lumba Kereta Formula Satu, Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De Langkawi, Sukan
Komanwel, Badminton Piala Thomas dan Kejohanan Hoki Piala Dunia. Melalui
penganjuran sukan berprestej ini masyarakat dunia mengenali negara kita dan
mereka akan berkunjung ke sini untuk menyaksikan pertandingan tersebut. Sebagai
contoh, kejohanan Formula Satu telah mencapai kejayaan kerana sambutan yang
menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan luar negara.
Kejohanan
Lumba Basikal Le Tour De Langkawi merupakan kejohanan berbasikal yang semakin
mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa. Pada setiapa tahun bilangan
peserta yang mengambil bahagian meningkat dan prestasi mereka amat
menggalakkan. Saya berasa yakin suatu hari nanti kejohanan ini akan sama
tarafnya dengan Kejohanan Lumba Basikal Le Tour De France yang bertaraf dunia.
Kejohanan
Sukan Komanwel 1998 mencatat sejarah penting dalam penganjuran sukan di
Malaysia. Kejohanan sukan kedua terbesar selepas sukan olimpik telah membawa
pelbagai kejayaan kepada Malaysia. Negara kita tidak pernah memenangi pingat
emas yang begitu banyak sepanjang kejohanan sukan itu diadakan tetapi apabila sukan itu diadakan di
Malaysia, prestasi atlet sukan kita amat memberangsangkan.
Memang
banyak faedah yang kita peroleh apabila kita menganjurkan sukan bertaraf dunia.
Di samping dapat bersaing dengan atlet bertaraf dunia, atlet negara kita dapat
memperoleh pengalaman yang luas melalui penyertaan mereka dalam bidang sukan
itu. Industri pelancongan negara turut berkembang kerana pelancong asing
menggunakan pelbagai kemudahan semasa berada di negara kita. Perkara ini dapat
membantu pertumbuhan ekonomi negara. Di samping itu, imej negara kita terserlah
di dunia kerana kecemerlangan kita menganjurkan sukan bertaraf dunia ini.
Kesimpulannya,
penganjuran sukan bertaraf dunia memang digalakkan di negara ini. Bidang sukan
yang dianjurkan ini bukan sahaja membawa pelbagai faedah kepada atlet negara
tetapi dapat mengharumkan nama Malaysia
di persada antarabangsa.
.