KEMUDAHAN AWAM DI NEGARA KITA


KEMUDAHAN AWAM DI NEGARA KITA

Malaysia ialah sebuah negara yang pesat membangun.  Selaras dengan pembangunan yang pesat ini, pelbagai kemudahan disediakan oleh pihak yang berwajib bagi membantu rakyat menikmati keselesaan hidup. Satu daripada kemudahan yang disediakan ialah kemudahan awam.

Kemudahan awam  yang dimaksudkan adalah seperti telefon awam, taman rekreasi, pondok perhentian bas, tandas awam dan lain-lain lagi. Bagi sesiapa yang tidak mempunyai kemudahan telefon sendiri di rumah, telefon awam amat berguna dalam usaha menghubungi pihak hospital, bomba, dan balai polis ketika kecemasan dan waktu memerlukan pertolongan yang  segera. Pondok perhentian bas pula akan memberikan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan bas sama ada  untuk pergi bertugas atau pergi bersiar-siar. Taman rekreasi yang terdapat di mana-mana terutama di bandar-bandar,  menjadi tempat orang awam berehat dan menjalankan aktiviti riadah. Tandas awam pula tersedia di tempat-tempat yang  menjadi tumpuan orang ramai. Kebersihan dan keceriaan  di  luar dan di dalam  tandas awam, membolehkan orang awam menggunakannya dengan selesa. 

          Kepentingan kemudahan awam kepada masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Namun, sebahagian daripada pengguna, seolah-olah tidak menghargainya. Mereka merosakkan harta benda awam tanpa memikirkan kesan dan implikasi daripada tindakan mereka itu. Kita melihat di sana-sini telefon awam tidak berfungsi lagi,  taman rekreasi disalahgunakan, pondok perhentian bas diconteng dan ditulis dengan kata-kata yang tidak menyenangkan hati. Tandas awam pula tidak digunakan dengan wajar di samping pengguna tidak bekerjasama menjaga kebersihannya. Tindakan vandalisme ini amat mengecewakan semua pihak yang prihatin tentang keselamatan kemudahan awam.

          Justeru, kita tidak  ada pilihan, selain berusaha dan berganding bahu mengambil tindakan yang berkesan untuk membendung dan mengekang perlakuan yang negatif ini. Selain tindakan tegas melalui undang-undang, didikan rohani  perlu dipupuk di peringkat sekolah rendah lagi. Murid-murid hendaklah  diasuh tentang perlunya mereka bertangggungjawab menjaga harta benda awam. Kempen dan galakan melalui media elektronik hendaklah dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan lebih berkesan. Ibu bapa dan para pemimpin masyarakat harus mendukung aspirasi slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.


             Kemudahan awam hak milik kita bersama. Marilah kita menjaganya demi kepentingan kita dan maruah negara.

.