Senarai Pantun Yang Boleh Digunakan Dalam Karangan


Senarai Pantun Yang Boleh Digunakan Dalam Karangan

Pantun boleh digunakan dalam penulisan karangan. Jika anda memasukkan pantun dalam karangan, kualiti serta nilai karangan akan bertambah baik. Berikut ialah beberapa contoh pantun peribahasa untuk anda gunakan dalam karangan anda.

Ombak badai menggulung-gulung
Kelasi terdampar di tepi pantai
Hajat di hati nak peluk gunung   
Apakan daya tangan tak sampai

Maksud: Bercita-cita besar, namun tak tercapai.

Budak-budak bermain rakit         
Rakit buluh tolong buatkan   
Harap-harapkan guruh di langit   
Air di tempayan dicurahkan

Maksudnya: Bodoh mendengar cakap orang sehingga diri sendiri kerugian

Hujan panas turun berderai           
Guruh menyambar pohon jati
Kasih sayang tak boleh bercerai   
Bagaikan rambut bersimpul mati

Maksud: Perasaan cinta dan kasih sayang yang sangat erat

Burung puyuh burung taktibau       
Terbang tinggi si burung bayan
Di dalam kilat ada kilau                
Rupanya awan mengandung hujan

Maksud: Orang yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya ada niat tidak baik

Berburu ke padang datar           
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar               
Bagai bunga kembang tak jadi

Maksud: Sia-sia melakukan sesuatu kerja jika tak cukup kepakaran dan kemahiran

Ayam hutan terbang ke hutan   
Turun ke tanah mencari makan
Kerana digila burung di hutan    
Denak di rumah mati tak makan

Maksud: Sanggup tinggalkan seseorang yang dekat kerana dapat orang baru

Orang gagah pergi berperang       
Terlalu berani lagi perkasa
Gajah mati meninggalkan tulang   
Manusia mati meninggalkan jasa

Maksud: Hidup biar berjasa supaya mati dikenang orang

Ku sangka nanas atas permatang   
Rupanya durian tajam berduri
Ku sangka panas hingga ke petang   
Rupanya hujan di tengahari

Maksud: Kebahagiaan yang hanya sementara/ ujian yang datang tanpa diduga

Kalau mandi pergi ke tebat           
Tunggu malam bulan mengambang
Kalau berjanji tak pernah tepat       
Macam biawak lidah bercabang

Maksud: Orang yang suka berdalih-dalih dan mencipta pelbagai alasan

Dara bersimpu dihujung bendul    
Sambil leka bersembang-sembang
Cakap tidak pernah betul            
Macam lidah tidak bertulang

Maksud: Orang yang kuat menipu dan tak boleh dipercayai

Berbunga lebat pohon rambutan   
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan       
Jangan lupa rumput di bumi

Maksud: Jangan lupa diri dan asal-usul setelah menempa kejayaan

Kayu bakar dibuat arang               
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang   
Cermin muka lihat sendiri  

Maksud: Cuba lihat kekurangan diri kita sendiri


Satu dua tiga empat                   
Lima enam tujuh setengah 
Sepandai-pandai tupai melompat   
Sekali sekala jatuh ke tanah

Maksud: Betapa pintar dan liciknya orang yang berbuat salah, suatu hari akan tertangkap juga akhirnya.

Satu tangan jarinya lima               
Dua tangan jarinya sepuluh
Saya tanam pokok delima                 
Mengapa peria pula yang tumbuh?

Maksud: Berbuat baik pada orang tetapi dibalas dengan kejahatan

Gesek biola tiup serunai               
Sayu dara berhati walang
Putih mata si burung punai           
Kayu ara ditunggu helang

Maksud: Gadis pingitan yang dikawal rapi oleh ayahnya

Tumbuk padi jadikan emping           
Buat juadah teman sebaya   
Pipit hendak bertenggek ke ranting
Sudikah enggang bertenggek sama?

Maksud: Ingin melamar seseorang yang berbeza darjat dan tarafnya

Pendekar handal di tengah gelanggang
Pendekar bergelar Raja Saksama
Bagaikan pipit dengan enggang       
Manakan boleh terbang bersama?

Maksud: Orang yang tak sama taraf dan darjat tak boleh berbaik dan berkawan rapat

Pergi ke rumah Cik Mariam           
Ramai orang tengah berjaga
Carik-carik si bulu ayam               
Lama-lama bercantum juga

Maksud: Adik beradik yang bergaduh, lambat-laun berbaik semula

Anyam sarung ketupat pulut       
Ketupat hendak direbus juga
Tidak sudahnya seluang melaut   
Akhirnya kembali ke pantai juga

Maksud: Orang yang merantau jauh sampai masa pulang ke tempat asalnya

Bukan saya condong ke dulang     
Saya tak mahu condong ke desa
Biar saya berputih tulang            
Saya tak mahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang mati-matian kerana tak sanggup kecewa

Lemaknya nasi bergulai udang       
Lemak berbau santan kelapa
Rela kumati berputih tulang           
Tidak kumahu berputih mata

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan kerana tak sanggup kecewa

Cabang apakah tidak bergetah       
Kiranya embun turun pagi
Tanah tak lekuk kayu tak patah       
Ular dipalu mestilah mati

Maksud: Buat sesuatu kerja biarlah cermat supaya siap sempurna

Petani pergi ke bendang   
Tangkap keli masuk ke bakul
Sungguh berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul

Maksud: Orang yang menanggung masalah lebih menderita daripada orang yang melihat penderitaannya

Bunga Melur kembang sekaki 
Mari dibungkus dengan kertas
Di dalam telur lagi dinanti            
Inikan pula sudah menetas

Maksud: Sudah terlalu lama menunggu dan bersedia sehingga masanya


Bunga telepuk kembang separak     
Kembang bersusun setiap batang
Awan bertepuk mega bersorak       
Bulan terbit dipagari bintang

Maksud: Lelaki tampan yang dikelilingi wanita-wanita cantik

Medang sila buahnya cantik           
Jatuh menimpa ke pasu bunga
Dengan sebab nila setitik               
Habis rosak susu sebelanga
Maksud: Satu kesalahan telah menyebabkan semua orang terkena tempiasnya


Hulubalang pergi berperang           
Gempita bunyi gendang dipalu
Jangan suka serkap jarang           
Nanti sendiri yang terima malu

Maksud: Main teka-teka atau tuduh-menuduh

Tarik dayung berderap-derap       
Hendak melawan sampan kotak
Dia ibarat si bunga dedap           
Sungguh pun merah berbau tidak

Maksud: Gadis cantik tetapi tidak mempunyai nilai kesopanan

Lalu di depan bongkok menunduk   
Tanda hormat tidaklah takbur
Ibarat telur di hujung tanduk       
Jika tergolek pecahlah bersembur

Maksud: Berada dalam keadaan yang sangat bahaya

Nyiur gading puncak mahligai   
Sayang ketupat berisi inti
Hancur daging tulang berkecai 
Belum dapat belum berhenti

Maksud: Sanggup berjuang habis-habisan sehingga akhir hayatnya

Tampi melukut di hujung tambak
Orang kota memasang rantai
Kalau takut dilambung ombak  
Jangan berumah di tepi pantai

Maksud: Jika takut cabaran, jangan pura-pura berani

Limau purut lebat ke pangkal   
Daun selasih di dalam raga 
Kalau kail panjang sejengkal   
Lautan dalam jangan diduga

Maksud: Jika tak cukup persediaan, jangan berhajat atau berlagak besar

Angin turun bersama ribut       
Melanda segala apa jua
Kasih ibarat embun di rumput   
Datang panas keringlah ia

Maksud: Kasih yang kemungkinan besar akan berubah hati

Kayu keras si kayu kempas       
Alas tempat orang berjudi
Ada beras kerja pun deras       
Ada padi kerja pun menjadi

Maksud: Jika ada kemahiran dan keupayaan, segala kerja mudah dilakukan


.

Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga


Peranan Anak-Anak Untuk Meringankan Beban Kewangan Keluarga         

                   Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga adalah terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun bahangnya mula dirasakan terutama sekali kepada keluarga yang berada pada garis kemiskinan dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2500. Beban kewangan adalah antara fenomena yang teruk dirasai oleh golongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, anak-anak hendaklah memahami akan susah payah ibu bapa dengan cara melakukan pelbagai prakarasa agar dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung.

Budaya berjimat cermat ialah senjata yang paling ampuh digunakan apabila berada dalam situasi begini. Langkah tersebut amatlah pragmatik dalam menghadapi suasana darurat dalam rumah tangga. Anak-anak diharap dapat memahami keadaan berat ringan yang ditanggung oleh ibu dan ayah. Prakarsa berjimat yang perlu dilakukan hendaklah bermula dengan amalan yang mudah-mudah terlebih dahulu seperti mengawal penggunaan keperluan asas terutama elektrik dan air. Rata-rata ibu bapa merungut tentang sikap anak-anak mutakhir ini yang dengan sewenang-wenangnya mencurahkan air sesuka hati dan membiarkan lampu dan kipas terpasang ketika tidak diperlukan. Memang benar budaya berjimat cermat itu lunak dibicarakan sebaliknya tidak mudah untuk dipraktikkan, namun segala-galanya adalah berpunca daripada sikap. Contoh yang paling mudah, jikalau kuasa elektrik dijimatkan dan utilitinya di bawah daripada paras RM20 justeru penggunaan domestik tersebut adalah percuama. Inilah sebenarnya hakikat amalan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Anak-anak yang baik adalah yang prihatin terhadap ibu bapa mereka. Setiap anak tentulah maklum akan kedudukan kewangan keluarga. Oleh itu, anak-anak perlulah menunjukkan rasa simpati terhadap jerih payah ibu bapa bekerja mencari rezeki. Fahamilah akan beratnya tanggungan bak kata peribahasa, seberapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul. Anak-anak seperti ini sudah pasti akan mengamalkan sikap bersederhana dalam hal makan minum, pakaian dan berbelanja sekadar yang perlu sahaja. Amatlah malang sekali apabila ada anak-anak pada era sekarang seakan-seakan tidak mempunyai sikap belas kasihan kepada ibu bapa. Mereka mudah terdorong untuk menuruti gaya hidup rakan-rakan yang lebih mewah. Mereka mendesak dan meminta-meminta sesuatu yang diluar upaya ibu bapa seperti inginkan pakaian yang berjenama dan berselera untuk makan ditempat-tempat yang eksklusif. Sepatutnya, anak-anak hendaklah mengelak daripada sebarang pengaruh dan budaya bermewah-mewah kerana resam hidup, pipit sama pipit dan enggang sesama enggang masakan dapat terbang bersama.

Walaupun bebanan kos hidup semakin meningkat, tetapi dalam sebuah negara seperti Malaysia, peluang untuk memperoleh pendapatan tambahan sentiasa terbuka. Peluang-peluang kerja sambilan seperti pembantu kedai dan berniaga secara kecil-kecilan mudah diperoleh di mana-mana jua. Anak-anak yang baik sudah tentu dapat menghidu peluang tersebut dengan cara melakukan kerja sambilan sewaktu lepas sekolah dan lebih-lebih lagi dalam musim cuti sekolah. Perkara yang penting ialah ketepikan perasaan malu dan malas. Sebenarnya telah banyak teladan yang dapat dikuti daripada ikon-ikon tersohor seperti Tan Seri Syed Mokhtar Al Bukhary, Tan Seri Loh Boon Siew dan Dato Seri Tony Fernandez yang berjaya menjadi konglomerat dengan memulakan peniagaan dari bawah. Oleh itu, langkah yang terpenting setiap anak perlulah mempunyai wawasan dan jiwa yang cekal untuk berjaya ibarat kata tokoh tersohor Sukarno, “Gantunglah cita-citamu di bintang yang tinggi sekalipun kakimu masih mencecahi perlimbahan”.

Bak kata peribahasa, daun boleh melayang jauh getah tetap mengalir ke perdu ialah peribahasa yang menerangkan bahawa, anak-anak yang baik sentiasa kembali kepada induknya. Hal demikian amatlah mustahak dijadikan pedoman oleh anak-anak yang telah menginjak usia dewasa. Mereka ini hendaklah memperlihatkan sikap membalas budi dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa. Setelah bertahun-tahun ibu bapa mendidik dan menjaga, apabila sayap sudah penuh kembalilah kepada induk untuk melihat susah payah mereka. Bantulah ibu bapa atas kadar yang terdaya. Janganlah apabila telah besar panjang, ibu bapa langsung tidak dijengah. Adik-adik yang masih kecil perlu dibantu. Malanglah sangat apabila kedapatan anak-anak yang sudah besar remaja tetapi masih bergantung kepada ibu bapa. Oleh itu, berpada-padalah dan sedarlah bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan. Janganlah bersikap kacang lupakan kulit, ibarat gemuk membuang lemak, cerdik membuang saudara.

Kaya atau miskin, susah mahupun senang adalah menjadi sunnatullah. Semuanya adalah sebahagian daripada ujian Tuhan terhadap hamba-Nya agar tidak mengenal putus asa. Demi berhadapan dengan cabaran kesusahan dan beban hidup, semua orang digalakkan berusaha dengan lebih gigih. Hidup ibarat roda, hari ini di bawah mungkin esok ke atas. Prakara yang paling penting ialah keinginan untuk berusaha dan tidak berputus asa. Peribahasa menyatakan, di mana-mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sebagai anak yang sudah besar panjang perlulah mengorak langkah untuk memikirkan sebarang kerja yang dapat meringankan beban ibu bapa. Dalam pada itu, sebagai insan yang tidak putus daripada khaliq-Nya, kita perlu berdoa, bermuhasabah dan bermunajat agar diberikan taufik dan hidayah oleh Allah sehingga terbuka jalan dan ikhtiar. Yakinlah akan firman Allah dengan mafhumnya, “Tuhanmu tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendir”i. Insya-Allah jikalau kita gigih dan tidak putus memohon petunjuk-Nya, nescaya limpah kurnia dan restu Allah akan tetap bersama-sama kita.

Kesimpulannya, ketika berdepan dengan pelbagai cabaran sebagai kesan daripada krisis kewangan, setiap keluarga tidak boleh mati akal. Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan penuh tanggungjawab, manakala anak-anak perlu faham akan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Sikap saling menyokong dan saling memerlukan boleh menjadi jambatan untuk menzahirkan impian, “Rumahku Syurgaku”. Semoga dengan sikap yang sentiasa positif segala masalah akan usai juga akhirnya, ibarat sepanjang-panjang jalan berliku ada penghujungnya.

.



Peranan Yang Perlu Dimainkan Untuk Melahirkan Remaja Yang Bersahsiah Mulia


Peranan Yang Perlu Dimainkan Untuk Melahirkan Remaja Yang Bersahsiah Mulia

Anak-anak ataupun digelar sebagai remaja ini mampu membangunkan sesebuah negara jika mereka mempunyai sahsiah yang mulia dalam diri mereka. Perkara ini sering menjadi bahan perbincangan dalam kalangan ibu bapa dan pemimpin negara. Dalam era milineum yang kian mencabar ini, pelbagai episod sedih dan malang terpapar di dada-dada akhbar malah sering kita terdengar di corong-corong radio. Acapkali kita tersentak dengan masalah kebejatan akhlak remaja yang berlaku di negara kita. Ada yang sanggup merogol remaja wanita kerana perasaan cemburu butanya sehingga remaja malang tersebut meninggal dunia akibat dikelar oleh manusia yang bersifat kebinatangan ini. Isu-isu seumpama ini sudah tentu akan merencatkan ketamadunan bangsa malah akan turut mencemarkan imej negara di mata dunia. Masalah ini tidak seharusnya dipandang enteng. Langkah-langkah pencegahan perlu diambil demi kesejahteraan hidup sejagat dan menjamin pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

Salah peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak kerana ibu bapa yang mencerminkan sahsiah peribadi anak-anak. Seseorang ibu bapa itu haruslah menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah bertutur dengan bahasa yang sopan, tidak bergaduh antara suami isteri di hadapan anak-anak, tidak merokok di hadapan anak-anak dan sebagainya. Dengan berbuat demikian, anak-anak pasti akan mengikut dan menjadikan ibu bapa mereka sebagai suri teladan kepada mereka. Hal ini persis dengan kata pepatah, “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” yang membawa maksud seseorang anak akan meniru perangai dan kelakuan ibu bapa mereka. Dengan ini, usaha untuk merealisasikan pembangunan negara dapat dijayakan dengan lahirnya remaja yang bersahsiah mulia. Tegasnya, sahsiah mulia anak-anak dapat dibentuk melalui sahsiah ibu bapa. Jika ibu bapa itu bersikap baik anak-anak juga akan menjadi baik, manakala jika ibu bapa itu bersikap buruk, anak-anak juga akan turut bersikap buruk.

Selain itu, ibu bapa juga dapat memainkan peranan mereka dengan memberikan dirikan agama yang mantap kepada golongan remaja. Allahyarham Tan Sri P. Ramli ada menegaskan bahawa irama dan lagu tidak dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka pincanglah karya tersebut. Hal ini bertepatan dengan konsep remaja dan didikan agama. Mereka akan pincang sekiranya ibu bapa memandang enteng dalam soal memberikan didikan agama kepada remaja. Pembentukan sahsiah remaja ini akan telus dan lancar jika mereka diberi didikan agama yang sempurna. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan didikan agama yang utuh, anak-anak akan dapat membezakan antara intan dengan kaca, antara batu dengan permata serta mampu untuk menangkis segala hasutan manusia yang bertopengkan syaitan. Sebagai contoh, remaja akan sentiasa mengamalkan akhlak terpuji dan bertindak mengikut hukum syariat Islam mahupun mengikut kefahaman agama masing-masing tanpa paksaan atau menerima tempias masalah sosial yang kian membarah seperti kes pembuangan bayi. Sekiranya remaja memiliki nilai kegamaan yang teguh maka teguhlah pembangunan sesebuah negara itu. Jelaslah bahawa suntikan didikan agama ke dalam jiwa setiap remaja kerana kedangkalan didikan agama akan melahirkan remaja yang bersikap negatif dan tersasar dari landasan ibarat kapal hilang nakhoda, karam di tengah laut.

Jika dilihat dari dimensi yang berbeza, pihak kerajaan juga berperanan dengan mengadakan satu kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh menggunakan kecanggihan media massa yang wujud di negara ini untuk mencapai tahap keberksanan yang sebaik mungkin. Kempen seperti ‘Kami Prihatin’ dan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Kempen yang dirangka dengan baik dan dilaksanakan sepanjang tahun berupaya untuk membentuk satu kesedaran dalam  naluri masyarakat kita terutamanya remaja yang sememangnya dahaga akan kesedaran sejati itu. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu, peranan pihak kerajaan untuk mengadakan kempen ini dapat memastikan golongan yang disandarkan harapan  pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara ini akan terus dibasahi sahsiah-sahsiah yang mulia segali gus dapat membangunkan negara pada masa hadapan.

Seperkara lagi, guru juga memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan remaja yang bersahsiah mulia untuk membangunkan negara. Kebanyakan remaja kita merupakan golongan pelajar. Mereka banyak menghabiskan masa di sekolah selain di rumah. Guru juga merupakan ibu bapa mereka di sekolah. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan guru mampu membentuk sahsiah seseorang remaja itu. Guru perlu mengajar murid tentang kepentingan bersahsiah mulia. Guru tidak seharusnya leka dalam menjalankan obligasi mereka sebagai pendidik yang berkesan kerana setiap ajaran guru akan melekat dalam sukma pelajar dan akan diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sehubungan dengan itu, guru perlu menitikberatkan aspek pembentukan insan yang kamil dan holistik di dalam kelas di samping menekankan kepentingan berperibadi mulia untuk membangunkan  negara. Mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama Islam perlu diajar oleh guru-guru dengan pengisian aktiviti pembelajaran yang menarik dan berkesan supaya objektif yang dirancang tidak tersasar. Izharlah bahawa peranan yang dijalankan dengan penuh istiqamah ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang bersahsiah mulia.
Bukan itu sahaja, sebagai anggota masyarakat,  kitajuga  tidak harus mengambil langkahlepas tangan untuk memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah remaja yang syumul. Kita seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak, ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh remaja kita. Ada masanya kita harus menjaga tepi kain orang dalam  usaha untuk mewujudkan golongan remaja yang lebih baik seperti menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius kepada pihak yang sepatutnya agar  hal ini tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Ringkasnya, dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada pihak komuniti maka golongan remaja kita dapat membangunkan negara sekiranya mereka memiliki sahsiah yang mulia.

Sebagai intihanya, bayang kian jelas bahawa semua pihak berwajib perlulah memikul dan melaksanakan obligasi masing-masing dengan sempurna. Hal ini kerana usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan mendatangkan apa-apa hasil, seperti kata pepatah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kerjasama dan usaha bersungguh-sungguh perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Tanpa kerjasama yang menyeluruh, usaha untuk melahirkan remaja yang bersahsiah mulia akan menjadi sia-sia seperti membuang garam ke laut. Oleh itu, setiap lapisan rakyat perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjinguntuk membangunkan negara.  Sesungguhnya, kita mampu untuk melakukannya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah, serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni.


.